Novel



PROLOG
“Abang sayang Intan,” ucap Azli sambil mengenggam erat tangan Intan. Mata Azli terus menatap wajah ayu di hadapannya itu. Bibirnya menguntum senyuman bahagia.
“Intan pun sayang abang,” balas Intan manja sambil melentokkan kepalanya ke bahu Azli.
Pasangan pengantin baru itu kemudiannya hanya  diam melayan perasaan masing-masing sambil memerhatikan ombak memukul pantai. Hembusan bayu laut menambahkan lagi keasyikan lamunan mereka. Hanya mereka berdua sahaja di situ memandangkan resort yang ditempah khas untuk berbulan madu itu  mempunyai kawasan pantai persendirian.
“Agaknya sampai bila abang akan sayang Intan ek?” tanya Intan tiba-tiba sambil cuba melihat reaksi Azli.
“Kenapa Intan tanya macam tu? Intan tak percaya kat abang ye?” tanya Azli pula. Kaget dengan soalan Intan tadi. Mata Intan direnungnya dalam-dalam.
Intan cuba melarikan matanya dari pandangan yang memukau itu namun tidak berdaya. Terasa mukanya semakin menghampiri muka Azli yang berkumis nipis itu. Kucupan yang singgah ke bibirnya dirasakan sangat lembut dan penuh kasih sayang. Dada Intan terasa sebak. Terus dilepaskan dirinya dari kucupan Azli.
“Abang, Intan harap Intan dapat membahagiakan abang. Banyak perkara yang Intan tak tau buat especially bab masak-memasak. Uruskan  bilik sendiri pun tunggang-langgang. Intan rasa suspens lak nak balik ke rumah abang lepas cuti ni,” balas Intan dengan sayu.
“Alahai Intan. Berapa kali abang nak cakap? Pelan-pelanlah belajar. Abang pun bukannya harap Intan boleh tau semua dalam sekelip mata. Janganlah susah hati sangat sayang,” pujuk Azli.
Bukannya dia tak tahu riwayat hidup Intan. Selama lima tahun Intan bersekolah di asrama penuh sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Di universiti Intan tidak menyewa rumah sebaliknya duduk di kolej kediaman yang memang menyediakan makanan buat para pelajar. Bila balik cuti semester pula ada orang gaji di rumah yang menguruskan segala-galanya.
“Abang cakap memang senang. Sekarang tengah sayang semuanya okay. Nanti bila dah benci, semuanya sakit di mata,” balas Intan.
Sememangnya dia berasa susah hati. Azli adalah anak bongsu daripada 10 orang adik-beradik yang terdiri daripada dua orang kakak dan tujuh orang abang. Dia dah biasa dimanjakan oleh ibu bapa, kakak-kakak dan abang-abangnya. Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang kurang berada namun dia bijak sehingga berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaya dan kini memegang jawatan Jurutera Kanan di syarikatnya.
“Dahlah Intan. Tak payah lah kita bincang sekarang benda remeh-temeh ni. Hilang mood bulan madu abang,” balas Azli masih memujuk. Pipi Intan dicium lembut. “Jom masuk bilik sayang. Abang rasa gatallah. Nak mintak sayang tolong garukan,” sambung Azli disusuli cubitan daripada Intan.
“Abang ni tak malulah,” jerit Intan sambil berderai tawa riang pasangan yang sedang hangat berkasih. “Tapi, abang kena kejar Intan dulu.” Dengan itu Intan terus berlari ke gigi air sambil dikejar oleh Azli. Macam dalam filem Hindustan seperti yang sering diangankan oleh Intan.
“Mama! Mama!” jerit Ain mematikan lamunan Intan. Potret perkahwinan di tangan segera diletakkan semula ke tempat asalnya. Malu pula rasanya kalau Ain nampak dia tersengih-sengih macam kerang busuk mengimbau kenangan lama.
“Ada apa sayang?” tanya Intan.
“Adik ni Ma. Dari tadi asyik kacau kakak aje. Tengoklah ni. Habis basah rambut Barbie kakak adik gigit,” bebel Ain.
Ain, anak sulung Intan, baru mencecah umur 6 tahun tapi petah berkata-kata mengalahkan makcik-makcik. Marah betul dia pada Aidil yang baru mula berjalan-jalan jatuh. Pantang nampak barang-barang Ain semuanya nak dimasukkan ke mulutnya.
“Ain janganlah sepah-sepahkan barang Ain tu. Adik bukannya tau apa-apa lagi. Memang perangai budak-budak macam tu. Suka nak rasa benda-benda,” ujar Intan lembut sambil menarik Ain ke dalam pelukannya.
Rambut Ain dibelai-belai sebagaimana Azli belai suatu ketika dulu.  Mengenangkan Azli, airmata Intan mula mengalir. Inilah harinya yang sangat ditakuti oleh para isteri. Hari ini jugalah Intan nekad akan memulakan satu episod baru bersama anak-anaknya. Hati Intan terasa bagai dibelah-belah. Perit terasa walaupun berdarah tiada. Namun dia harus tabah untuk anak-anaknya. Anak-anaknya lebih utama daripada perasaannya sekarang.
“Kenapa mama nangis? Mama sakit ye?” tanya Ain dengan hairan.
Segera Intan menyeka airmatanya. “Takde apa-apa sayang,” balas Intan lalu dicium pipi montel anaknya itu. “Jom kita masuk kereta. Kita nak pergi jalan-jalan,” sambung Intan lagi.
“Yeh! Yeh! Kita nak pergi jalan-jalan. Bestnya. Kita nak pergi mana Ma? Papa tak ikut sekali ke?” tanya Ain lagi.
Intan sekadar menggelengkan kepala. Air matanya tumpah lagi ke pipi.
“Kali ni cuma Ain, Aidil dan mama aje. Papa ada kerja,” jawab Intan. “Jom Ain. Pegang adik bawak masuk kereta. Mama nak bawak beg-beg ni.”
Selesai saja menguruskan anak-anak dan beg-beg pakaian, sebelum mengunci pintu, Intan melihat sekeliling rumahnya seolah-olah perginya tidak kembali lagi.
‘Maafkan Intan abang. Semoga abang bahagia selalu,’ rintih hati Intan dengan linangan airmata.
            Intan masuk ke kereta dan terus memandu tanpa menoleh ke belakang lagi. Kepada ibu dan bapanya dikatakannya dia bercuti ke luar negara selama dua minggu. Hanya Intan dan Angah, adik Intan, yang tahu destinasinya pada hari itu. Azli pun tidak tahu.
            ‘Hah! Tak perlu dia tahu mana aku nak pergi. Dia tengah seronok-seronok. Mana dia nak kisah hal aku ni.’ bisikan syaitan merasuk benak fikirannya.  
            “Along, betul-betul ke Along nak pegi ni? Angah risaulah. Aidil tu ha. Bukannya boleh duduk diam dalam kereta kalau tak dipegang,” luah Angah ketika Intan menyuarakan hasratnya untuk menghilangkan diri buat seketika.
            “InsyaAllah okay Angah. Along dah beli baby seat. Dah try letak Aidil ari tu. Okay je. Lagipun Ainkan ada. Dia boleh tolong tengokkan adik masa Along drive nanti.” Begitu nekad sekali Intan dengan keputusan yang telah dibuatnya.
‘Nusyuz kah aku?,’ hati Intan terus berbisik. ‘Maafkan Intan abang. Maafkan Intan,’ hati Intan masih terus berbisik memohon kemaafan Azli. ‘Selamat tinggal abang.’
Kereta Intan terus meluncur meninggalkan kebisingan kota.

No comments:

Post a Comment